Tuesday 17 July 2012

SAINS DALAM KEHIDUPAN TUMBUH TUMBUHAN


Secara umumnya, semua sains mempunyai manfaatnya sendiri. Cuma kadang kala kerana kerakusan manusia, sains telah disalah guna.
Contohnya, sains nuklear yang seharusnya dimanfaatkan oleh manusia sebagai alternatif sumber tenaga, telah disalah gunakan menerusi penciptaan bom nuklear yang mengugat keselamatan sejagat.
Begitu juga dengan kemajuan pengetahuan manusia dalam sains bioteknologi. Sementara kita menggunakannya untuk tujuan kebaikan, ada juga mereka yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan pengetahuan ini untuk mengaut keuntungan dan mengenepikan soal etika dan mencabar kuasa tuhan.
Percubaan untuk mengklon manusia adalah antara isu yang banyak menyebabkan masyarakat melihat sains itu sebagai sesuatu yang buruk dan merosakkan.
Bagaimana pula dengan sains botani sendiri? Apakah kepentingannya kepada masyarakat dan dunia secara menyeluruh? Sebenarnya tidak sukar untuk memahami kepentingan sains botani. Cukup sekadar kita mengaitkannya dengan perkembangan pesat penduduk dunia.

Banyak ubat-ubatan menggunakan tumbuhan sebagai bahan asasnya.

Pertumbuhan pesat penduduk telah membawa perubahan kepada dunia secara keseluruhan. Pemahaman bagaimana aktiviti manusia boleh menjejaskan persekitaran, membolehkan kita meramal perubahan cuaca.
Sebenarnya, ramalan perubahan cuaca ini sangat penting, kerana ia merupakan petunjuk kepada kita bagaimana mengawal bekalan makanan dunia. Kajian saintifik kepada perubahan-perubahan ini dan juga kesannya kepada ekosistem semula jadi dan pengeluaran pertanian penting untuk masa depan masyarakat dunia.
Selain itu, isu-isu alam sekitar yang lain seperti pencemaran juga menjadi perhatian ahli botani. Banyak spesies tumbuhan sensitif kepada beberapa jenis pencemaran. Ahli botani turut mengkaji kesan pencemaran terhadap tumbuhan. Tanpa kita sedar, tumbuhan adalah `kilang’ bahan kimia.
Dalam bidang sains botani, seorang ahli biokimia tumbuhan mengkaji dan mengenal pasti kemungkinan menggunakan bahan kimia yang dihasilkan oleh tumbuhan. Malah jika kita perhatikan, banyak ubat-ubatan yang terdapat di farmasi adalah sama ada daripada ataupun berasaskan tumbuhan.
Malah, maklumat mengenai bahan kimia yang terdapat dalam tumbuh-tumbuhan ini digunakan untuk menasihati penggubal undang-undang bagi melindungi alam sekitar dan juga mengekalkan sesuatu ekosistem.
Sementara itu, dengan menggunakan kultur tisu tumbuhan, ahli botani sebenarnya boleh `menumbuhkan’ sesuatu tumbuhan daripada hanya satu sel. Ini sebenarnya merupakan satu potensi bioteknologi, hortikultur, perhutanan dan patologi tumbuhan yang menarik.

Pemahaman kepada aktiviti-aktiviti manusia yang menyebabkan pencemaran perlu difahami oleh saintis botani supaya mereka lebih memahami bagaimana mengatasi masalah-masalah yang boleh mengancam bekalan makanan penduduk dan juga pemuliharaan alam sekitar.

Seperti yang disebutkan sebentar tadi, tumbuhan adalah `kilang’ kimia dan kebanyakan bahan kimia yang dihasilkan tumbuhan ini sangat berguna kepada manusia.
Selain makanan, tumbuhan merupakan bahan mentah untuk kertas, bahan binaan, bahan pelarut, bahan pelekat, fabrik, ubat dan banyak produk lain. Ahli botani mengkaji penghasilan bahan kimia oleh pelbagai jenis tumbuhan untuk mengenal pasti kegunaannya.
Sebagai contoh, kita menggunakan bahan kimia yang dihasilkan oleh sesuatu tumbuhan untuk merawat beberapa jenis barah.
Selain itu, kepelbagaian biologi dunia atau jenis-jenis organisma yang menghuni dunia ini semakin berkurang.
Apabila manusia mula menukar persekitaran untuk kegunaannya, tumbuhan dan binatang sebenarnya turut terancam.
Justeru, ahli taksonomi tumbuhan dan juga ahli ekologi tumbuhan berusaha mengenal pasti dan juga memahami spesies baru tumbuhan terutamanya dalam persekitaran biologi yang kaya seperti hutan hujan.
Tumbuhan dalam hutan hujan penting, tetapi sebenarnya, ia juga adalah sumber penting kepada manusia. Siapa tahu, tumbuhan yang belum ditemui akan menjadi sumber pertanian yang sangat penting satu hari nanti.

Saintis sains botani memainkan peranan penting untuk memastikan manusia mendapat bekalan yang bermutu melalui penyelidikan dan kajian yang berterusan.

Malah, terdapat kemungkinan besar, tumbuhan yang boleh menjadi ubat kepada penyakit yang mengancam nyawa manusia. Kepelbagaian biologi juga merupakan sumber gen-gen baru untuk membaiki tumbuhan yang kita guna kini.
Apabila teknik kejuruteraan genetik dibaiki, keupayaan kita untuk membaiki tumbuhan kita juga akan turut meningkat.
Seperti juga bidang sains yang lain, botani juga juga kini sedang berhadapan dengan cabaran-cabaran baru. Kemajuan terkini dalam bidang genetik umpamanya, telah memberi peluang kepada saintis untuk mencantumkan gen daripada satu tumbuhan kepada tumbuhan yang lain.
Contohnya, beberapa asid amino dalam diet manusia tidak dapat dihasilkan dengan baik oleh tumbuhan, jadi adalah menjadi cabaran kepada saintis dalam bidang sains botani untuk menghasilkan tanaman-tanaman yang lebih berkhasiat dengan cara menambah gen untuk menghasilkan asid amino yang berkurangan ini.
Secara umumnya, semua tumbuhan-tumbuhan penting yang menjadi sumber makanan utama manusia berpotensi untuk diperbaiki menerusi bioteknologi.
Selain itu, satu lagi cabang yang mencabar dalam bidang sains botani ini melibatkan membran sel.
Semua benda hidup mempunyai sel dan semua sel mempunyai membran.
Saintis tumbuh-tumbuhan sehingga kini cuba memahami pentingnya aktiviti-aktiviti sel yang melibatkan membran. Sebagai contoh, benda hidup memerlukan tenaga untuk hidup, tetapi benda hidup juga memerlukan membran sel untuk menggunakan tenaga ini.
Ahli biologi tumbuh-tumbuhan mahu memahami bagaimana membran berfungsi memandangkan benda hidup tidak boleh wujud tanpa sel membran.

Saintis sains botani kini cuba memahami fungsi membran sel tumbuh-tumbuhan.

Kita kini semakin mengetahui lebih banyak mengenai gen tumbuh-tumbuhan dan fungsi-fungsi masing-masing.
Kini, ahli botani lebih menumpukan perhatian kepada bagaimana gen berfungsi. Tumbuh-tumbuhan sebenarnya adalah organisma hidup yang kompleks.
Saintis sehingga kini masih belum memahami bagaimana tumbuh-tumbuhan boleh berkembang daripada satu sel kepada organisma hidup yang kompleks dengan berjuta-juta sel.







CREDIT :
http://www.tutor.com.my/tutor/estidotmy/index.asp%3Fy%3D2003%26dt%3D0730%26pub%3Destidotmy%26sec%3D.

No comments:

Post a Comment